Tips Menyewa di Australia

Peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara mungkin adalah kali pertama seorang pelajar itu tinggal berjauhan dari keluarga. Tidak dinafikan bahawa Australia adalah tempat yang baik untuk menimba ilmu dan mempelajari budaya negara maju. Antara cabaran pertama kali tiba di Australia adalah mencari tempat tinggal. Kebanyakan pelajar memilih untuk berkongsi penginapan (house sharing) untuk menjimatkan kos dan berkenalan dengan rakan serumah yang berbilang bangsa dan negara. Education Malaysia-Australia (EMA) sentiasa membantu pelajar-pelajar Malaysia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan baru di sini. Antara tips yang boleh dipraktikkan oleh pelajar yang memilih untuk menyewa adalah,

Ketahui hak anda sebagai seorang penyewa

Kerajaan Australia mengamalkan undang-undang yang adil untuk melindungi penyewa terutama para pelajar daripada ditipu pemilik rumah dan ejen hartanah. Setiap negeri di Australia mengamalkan peraturan yang sedikit berbeza tetapi secara amnya melindungi penyewa. Sebagai contoh, jika anda menyewa di Sydney pastikan anda mengetahui tips menyewa di New South Wales yang terdapat di laman web http://www.tenants.org.au/. Sekiranya anda berhadapan dengan masalah samada dengan rumah yang disewa, pemilik rumah, ejen hartanah, rakan serumah atau jiran setempat, anda boleh mendapatkan khidmat nasihat undang-undang secara percuma. Contoh terdekat untuk pelajar-pelajar di Sydney mendapatkan nasihat guaman adalah Redfern Legal Centre http://rlc.org.au/publications/tenancy-housing. Anda juga boleh berhubung dengan EMA untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut tentang khidmat nasihat tersebut.

Ketahui tanggungjawab anda sebagai rakan serumah

Samada menyewa bersama rakan-rakan senegara atau tidak, sifat toleransi amat penting untuk mengelakkan sebarang konflik. Sebelum menyewa, pastikan pelajar mengetahui tips berkongsi tempat tinggal http://sharehousing.org/. Para pelajar seharusnya menggunakan peluang tinggal bersama rakan serumah berbilang negara untuk mendalami budaya baik yang boleh membentuk jatidiri dan ‘global networking’.

Ketahui bahawa anda tidak bersendirian

Jangan takut untuk bertanya dan dapatkan khidmat nasihat sekiranya anda berhadapan dengan masalah. Rakyat Malaysia di Australia, samada pelajar universiti atau penduduk tetap yang bekerja di sini bersedia untuk membantu rakan senegara. Hubungi EMA atau berkunjung ke pejabat kami untuk berjumpa dengan staf yang sentiasa bersedia membantu anda. Semoga para pelajar dapat menimba ilmu dan pengalaman sebanyak yang mungkin untuk dibawa pulang ke tanahair.

Selamat maju jaya.

You may also like...