U.M.A.R Rangkum Kejayaan Pendidikan Tinggi Negara

U.M.A.R Rangkum Kejayaan Pendidikan Tinggi Negara

Siri kejayaan yang diraih universiti-universiti tempatan di peringkat antarabangsa dirumuskan Kementerian Pendidikan U.M.A.R bermaksud Universitas 21 (U); Universiti Malaya (M); lima universiti terbaik di Asean (A) dan dalam kelompok satu peratus Universiti Penyelidikan (R) terbaik di dunia, adalah rangkuman yang dipaparkan kementerian itu mengenai kejayaan yang diraih oleh bidang pendidikan tinggi negara.

Menteri berkenaan Datuk Seri Idris Jusoh berkata bagi kedudukan U21, ranking yang dikeluarkan oleh Universiti of Melbourne terhadap 50 negara menunjukkan Malaysia sentiasa memperbaiki kedudukannya sejak 2012 iaitu dari tangga ke-36 kepada tangga ke-25 tahun ini.

Selain itu, kejayaan Universiti Malaya yang memperbaiki kedudukannya dari tempat ke-167 kepada ke-114 tahun ini dalam laporan Universiti Dunia Quacquarelli Symond (QS) 2017/2018 turut menjadi kebanggaan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Universiti Malaya juga dalam usaha untuk memecahkan tembok bagi mencapai kedudukan 100 terbaik dunia dalam masa setahun ke dua tahun pada masa akan datang,” katanya pada pemberita selepas majlis melepaskan Misi Sukarelawan Siswa Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS)-Antarabangsa ke Sabah 2017 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Idris mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di atas ucapan tahniah kepada kementeriannya berikutan kejayaan yang diraih itu, dalam blog najibrazak.com semalam.

Idris berkata tahun ini, lima universiti tempatan menempatkan kedudukan mereka dalam kalangan universiti terbaik ASEAN iaitu Universiti Malaya (ketiga), Universiti Putra Malaysia (keempat), Universiti Kebangsaan Malaysia (kelima), Universiti Teknologi Malaysia (ketujuh) dan Universiti Sains Malaysia (kelapan).

“Kita juga berjaya menyenaraikan kelima-lima universiti penyelidikan tempatan terbabit dalam kelompok satu peratus teratas dunia daripada 26,000 universiti di seluruh dunia,” katanya.

Mengenai prestasi universiti tempatan yang tidak tersenarai, Idris menjelaskan Malaysia hanya mempunyai lima universiti berkonsepkan penyelidikan manakala universiti-universiti lain mempunyai bidang tumpuan masing-masing.

“Kita hanya mempunyai lima universiti penyelidikan dan tidak berniat untuk menambah bilangannya kerana kita juga mempunyai universiti yang memberi fokus kepada bidang pendidikan lain termasuk teknikal, keusahawanan dan oseanografi,” katanya.

Universiti-universiti awam lain di Malaysia turut menunjukkan prestasi baik setakat ini walaupun sesetengah daripada universiti tersebut tidak sampai 10 tahun ditubuhkan.

“Oleh itu, kita tidak boleh bandingkannya dengan universiti seperti di Eropah yang telah ditubuhkan beratus-ratus tahun dahulu kerana ada di antaranya masih bertatih tetapi mempunyai kelebihan masing-masing,” katanya. – BERNAMA

 

You may also like...